Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 akan dilaksanakan pada 5 April 2023 secara berperingkat. Bagi penerima yang telah disahkan, pembayaran akan dikreditkan ke akaun bank penerima/pasangan. Sementara itu, bagi mereka yang tiada akaun bank, pembayaran boleh dibuat melalui tuntutan tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Jumlah Bayaran
Amaun bayaran yang akan diterima adalah sebanyak RM200 bagi kategori Isi Rumah iaitu Kahwin dan Ibu Bapa Tunggal (IBT) yang mempunyai anak. Bagi kategori Warga Emas Tiada Pasangan dan Bujang, amaun yang akan diterima adalah sebanyak RM100.
Penerima STR yang layak menerima bayaran Fasa 2 adalah merujuk kepada penerima STR Fasa 1 yang telah disemak silang dengan data kematian pemohon dan pasangan sehingga 28 Februari 2023.
Cara Pembayaran
Pembayaran STR Fasa 2 berdasarkan kaedah pembayaran STR Fasa 1 seperti kredit ke akaun bank atau tunai di kaunter BSN. Pembayaran akan dilakukan secara tunai sekiranya pembayaran STR Fasa 1 adalah secara tunai, status pengkreditan gagal kredit, atau tiada maklumat akaun bank.
Semakan Status
Semakan status bayaran boleh dibuat mulai 5 April 2023 melalui portal rasmi https://bantuantunai.hasil.gov.my/ Sumbangan Tunai Rahmah Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM), aplikasi Semakan Sumbangan Tunai Rahmah yang boleh dimuat turun di Play Store/App Store pada telefon bimbit, atau menghubungi LHDNM atau MOF. Selain itu, penerima juga boleh hadir ke LHDNM yang berhampiran untuk membuat semakan status pembayaran.
Untuk membuat semakan status pembayaran melalui portal rasmi STR, penerima perlu klik Log Masuk MySTR, masukkan nombor MyKad Pemohon, pengesahan kata kunci keselamatan, dan masukkan kata laluan. Klik Semakan Status dan Maklumat Bayaran untuk mengetahui status pembayaran Fasa 2.
Jika semakan status pembayaran tidak menunjukkan maklumat bayaran Fasa 2, ia mungkin disebabkan oleh penerima yang bukan penerima STR Fasa 2. Bagi penerima yang akaun bank semasa menerima STR Fasa 1 berstatus tidak aktif/tutup, pembayaran akan dikreditkan ke dalam akaun bank yang sama sekiranya status pengkreditan STR Fasa 1 adalah berjaya kredit. Tuntutan tunai di kaunter BSN hanya boleh dibuat selepas status gagal kredit dipaparkan dalam semakan portal STR. Penerima perlu hadir ke cawangan BSN bersama kad pengenalan asal penerima bagi membuat tuntutan bayaran.
Sekiranya penerima diisytiharkan muflis dan akaun yang didaftarkan sebelum ini telah dibekukan, pembayaran STR Fasa 2 boleh dibuat melalui kaedah yang telah ditetapkan oleh Biro Insolvensi Jabatan Insolvensi Malaysia (JIM).