Permohonan Baru dan Kemaskini STR 2023 (fasa 2)

Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN) telah membuka borang permohonan baru bagi Sumbangan Tunai Rahmah 2023. Selain itu, borang kemaskini maklumat STR juga turut dibuka kepada semua penerima.

Tarikh Penting STR

Pembukaan permohonan dan kemaskini akan bermula pada 1 Mac 2023 sehingga 31 Mac 2023. Tarikh ini adalah bagi permohonan dan kemaskini yang dibuat secara online.

Manakala bagi permohonan dan kemaskini STR secara borang bertulis, ianya bermula 8 Mac 2023 hingga 31 Mac 2023.

Siapakah yang Perlu Membuat Permohonan STR?

Terdapat dua kategori pemohon yang perlu membuat permohonan baharu untuk Skim Bantuan Sara Hidup (BSH) yang telah ditukar nama menjadi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sekarang.

  • Kategori pertama ialah pemohon yang tidak mempunyai rekod dalam sistem STR.
  • Kategori kedua ialah pemohon yang berpendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah atau berpendapatan RM2,500 dan ke bawah untuk individu bujang, tiada pasangan, atau tiada anak yang menepati syarat kelayakan.

Pemohon yang perlu membuat kemas kini permohonan STR ialah mereka yang tidak mengemaskini permohonan tiga tahun berturut-turut sepanjang pelaksanaan BSH 2020, BPR 2021, dan BKM 2022, serta penerima STR Fasa 1 yang mempunyai perubahan maklumat terkini.

Bagaimanakah Cara Untuk Saya Membuat Permohonan STR?

Terdapat dua kaedah untuk membuat permohonan STR. Pertama, pemohon boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui Portal Rasmi STR LHDNM atau aplikasi Sumbangan Tunai Rahmah yang boleh dimuat turun di Play Store atau App Store pada telefon bimbit. Kedua, pemohon boleh membuat permohonan melalui borang permohonan STR (BK-01) yang boleh didapati secara percuma di Portal Rasmi STR LHDNM atau di Pejabat LHDNM, Pejabat Satelit (PS), atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM.

Di Manakah Saya Boleh Menghantar Borang STR yang Telah Lengkap Diisi?

Anda boleh menghantar Borang STR yang telah lengkap diisi di Pejabat LHDNM, Pejabat Satelit (PS), atau Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM, atau menghantar secara Pos ke Peti Surat STR, GPO Shah Alam, 40800 Shah Alam, Selangor. Namun, penghantaran secara faks dan e-mel tidak diterima.