Permohonan BKK 2023: Bantuan Kanak-kanak Sehingga RM1000/Keluarga

Bantuan Kanak-Kanak (BKK) merupakan sebuah bantuan kewangan yang diperuntukkan kepada keluarga atau penjaga kepada anak/kanak-kanak untuk membantu memastikan anak/kanak-kanak terus dapat tinggal bersama keluarga dan memperoleh kelangsungan hidup yang sempurna tanpa menjejaskan perkembangan dan pertumbuhan kanak-kanak mengikut peringkatnya. BKK juga bertujuan untuk memperkukuh institusi keluarga yang terlibat dalam memberi jagaan kepada kanak-kanak termasuk kasih sayang dan perhatian.

Jumlah BKK

Kadar BKK yang diberikan ialah minimum sebanyak RM150 sebulan seorang sehingga maksimum sebanyak RM1000 sebulan sekeluarga mengikut pecahan berikut: RM200 untuk kanak-kanak berumur 6 tahun ke bawah dan RM150 untuk kanak-kanak berumur 7 tahun hingga 18 tahun.

Syarat Kelayakan BKK

Bagi memenuhi kelayakan untuk menerima bantuan ini, pemohon hendaklah merupakan warganegara dan bermastautin di Malaysia serta keluarga/penjaga memberi jagaan kepada kanak-kanak dengan pendapatan isi rumah yang tidak melebihi Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Purata Miskin Isi Rumah Semasa atau PGK Purata Miskin Per Kapita Semasa. Selain itu, bantuan ini hanya terbuka kepada kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah. Namun, remaja berumur 18 tahun ke atas boleh dipertimbangkan untuk menerima bantuan jika masih bersekolah sehingga tamat menengah atas.

Pelaksanaan bantuan kebajikan adalah selaras dengan Senarai Bersama (Concurrent List) antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri, yang termaktub dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan Malaysia di bawah Senarai 3 – Jadual Kesembilan Senarai Perundangan.

Cara Permohonan

Untuk memohon bantuan ini, pemohon boleh mengendalikan permohonan bantuan kewangan di Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/Jajahan/Bahagian di seluruh negara. Setiap permohonan yang didaftarkan akan dijalankan siasatan untuk penilaian (means-tested) bagi mengesahkan kelayakan bantuan kepada pemohon. Urusan ini bersesuaian dengan prinsip penyampaian bantuan yang berdasarkan kepada kelayakan dan bukan hak.

BACA JUGA:  Bantuan RM200 Buat Semua Pelajar Bermula Jun 2023 Ini

Pemohon dikehendaki membawa dokumen sokongan semasa hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Jajahan/Bahagian seperti salinan Kad Pengenalan diri pemohon, salinan Kad Pengenalan suami/isteri/ibu/bapa/anak yang tinggal bersama, salinan sijil kelahiran anak-anak/ahli keluarga yang tinggal bersama, salinan penyata gaji (jika ada), dan lain-lain dokumen yang berkaitan. Pemohon juga boleh melengkapkan borang permohonan JKM 18 ataupun JKM 20.