Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) adalah program pendidikan agama Islam yang bertujuan untuk memberikan pengukuhan asas Pendidikan Islam kepada kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun. Program KAFA bermula sejak tahun 1990 dan telah menjadi pilihan utama bagi kebanyakan keluarga Muslim di Malaysia yang ingin memberikan pendidikan agama yang kukuh kepada anak-anak mereka. Program KAFA meliputi pengajaran membaca al-Quran dan asas-asas fardu ain untuk membentuk kemenjadian murid yang cemerlang di dunia dan akhirat.
Mengenai KAFA
Tujuan utama Program KAFA adalah untuk mewujudkan suatu sistem kelas pengajian al-Quran dan Fardu Ain yang kemas, seragam, dan bersepadu di seluruh Malaysia. Selain itu, program ini juga bertujuan untuk memastikan kanak-kanak Islam di negara ini dapat mempelajari dan menguasai bacaan al-Quran dengan baik, mempelajari dan mengamalkan perkara-perkara asas fardu ain, serta memperkukuh asas pendidikan agama Islam untuk kanak-kanak Islam dalam pendidikan al-Quran dan Fardu Ain.
Pelaksanaan Program KAFA dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai penyelaras Program KAFA di peringkat Persekutuan. Program KAFA dilaksanakan di peringkat negeri melalui Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN) selaku Agensi Pelaksana di negeri masing-masing berdasarkan Garis Panduan Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) yang dikeluarkan oleh JAKIM.
Murid KAFA adalah kanak-kanak Islam yang berumur 7 tahun hingga 12 tahun atau murid tahun satu hingga tahun enam Sekolah Kebangsaan. Sehingga Jun 2021, jumlah murid KAFA di seluruh negara adalah seramai 1,225,965 orang dengan jumlah Guru KAFA seramai 35,000 orang. Waktu persekolahan murid KAFA adalah 3 hari seminggu dengan waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP) selama 3 jam sehari atau minima 36 jam sebulan.
Guru KAFA dilantik dalam kalangan mereka yang mempunyai kelulusan Pendidikan Islam berdasarkan syarat-syarat tertentu yang ditetapkan. Mereka dilantik secara kontrak oleh Agensi Pelaksana di negeri mengikut jumlah kuota yang diluluskan oleh Kementerian Kewangan dari semasa ke semasa. Sehingga tahun 2020, kuota Guru KAFA yang diluluskan adalah seramai 35,000 orang di seluruh negara. Guru KAFA dibayar elaun sebanyak RM1,000.00 setiap bulan, caruman KWSP sebanyak RM130.00 dan PERKESO sejumlah RM16.65 dengan menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan yang diuruskan oleh JAKIM.